Monday 18 April 2016

Rahsia Anak Pandai Mengaji Seawal 5 Tahun Yang Ramai Ibu Bapa Belum Tahu

Kalau kita pergi ke pasaran pendidikan Al Quran, boleh dikatakan terdapat pelbagai teknik yang membawakan kaedah masing-masing. Dalam pada itu, mereka ini mendakwa teknik mereka inilah yang paling berkesan dalam mengajarkan kepada anak-anak dalam membolehkan anak-anak ini membaca dengan lancar. Pada hakikatnya setiap pada teknik itu ada kekuatan dan kekurangannya yang tersendiri.  Ada teknik yang menekankan banyak pergerakan kinestatik, dan ada pula teknik yang banyak memperdengarkan audio dan visual sebagai method pembelajaran yang dianggap efektif untuk kanak-kanak.

Namun begitu kami dapat kenal pasti suatu kaedah tradisional yang tidak dipatenkan di mana-mana, tidak pernah dinamakan sebagai apa-apa teknik tapi sudah banyak testimoni yang berjaya dengan kaedah ini.

Untuk mempercepatkan anak-anak ini boleh membaca Al Quran dengan cepat, anak-anak ini hendaklah dilatih dengan dua kemahiran dalam masa yang sama. Tapi kedua-dua kemahiran ini hendaklah diajar dalam tempoh waktu yang berasingan. Kemahiran yang dimaksudkan adalah 

1. Kemahiran membaca Al-Quran
2. Kemahiran menghafaz Al-Quran


Kemahiran Membaca Al Quran

Gunalah apa sahaja kaedah yang terdapat dalam pasaran untuk mengajar anak-anak ini membaca Al Quran. Kaedah Iqra', Al Baghdadi, Haraki, Qiraati merupakan kaedah yang tidak asing lagi dalam masyarakat di Malaysia. Kemahiran ini adalah asas Al Quran untuk anak-anak ini mengenal huruf, makhraj, tajwid dan fasohah (kelancaran) yang membolehkan mereka ini membaca Al Quran dengan baik.

Kemahiran menghafaz Al Quran

Kemahiran ini yang banyak kita tinggalkan. Ada yang bertanya, bagaimana mahu ajarkan anak-anak ini menghafal sedangkan mereka ini kenal huruf pun masih belum lagi. Sebenarnya untk menghafaz, bukan medium visual sahaja yang membolehkan anak-anak ini menghafaz, akan tetapi melalui audio juga mereka boleh dapat menghafaz. Jiwa anak-anak ini bersih. Tiada dosa. Maka ilmu Allah yang diturunkan dari langit ini mudah melekat dalam hati mereka. Ajarkan mereka membaca dengan mengikut kita membaca surah-surah lazim dan mereka mengikutnya dengan perlahan-lahan. Sambil itu tunjukkan kepada mereka ayat-ayat yang kita baca walaupun mereka masih belum pandai membaca. Tunjukkan sahaja. 

Nah! inilah kaedahnya. Dua kemahiran yang kita ajar kepada anak kita Belajar baca dan belajar hafal membaca. Persoalannya bagaimana dengan cara ini boleh membuatkan anak-anak ini cepat kenal huruf dan boleh membaca dengan cepat? Sebenarnya belajar membaca mengenal huruf adalah membosankan. Huruf-huruf itu tidak seenaknya dihafal dan dibaca ketika mereka ini bermain. Sebaliknya ayat-ayat Al Quran sebenar yang dihafal itu lebih enak dinyanyikan sambil bermain. Di samping itu dengan menunjukkan ayat yang dibaca semasa sesi hafazan itu walaupun mereka belum pandai membaca adalah teknik mengajar membaca di bawah minda separa sedar. Mereka belajar membaca huruf yang tidak mereka kenal dalam keadaan minda separa sedar. Inilah rahsianya anak-anak ini akan lebih cepat boleh membaca Al Quran dengan lancar bahkan bacaan lebih baik lagi berbanding anak-anak yang tidak dilatih menghafaz.

Kita sedia maklum dalam pembelajaran teknik yang paling berkesan adalah pengulangan. Pengulangan akan memberikan skil yang tinggi kepada kanak-kanak. Untuk memantapkan lagi kemahiran anak-anak ini pengulangan adalah sangat penting. Ulang kemahiran mereka mengenal huruf dan ulang hafazan ayat-ayat lazim sekerap mungkim agar skil mereka ini dapat dipertingkatkan. Inilah rahsianya. Ulang-ulang dan ulang lagi.

Mulakan hafazan anak-anak kita sekarang. Insyaalah akan lebih cepat dapat membaca Al Quran. Semoga Allah permudahkan anak-anak ini dalam mempelajari ilmu Al Quran. Kita usahakan dan Allah yang memberi ilmu kepada mereka. 


Ustaz Azree sedang melatih salah seorang pelajar di Akademi Al Quran ABS Bukit Katil setelah kemahiran membaca diajarkan pada slot sebelumnya.

No comments:

Post a Comment